Sunday 25 October 2009

SEJARAH RINGKAS SJK (C) GUA MUSANG


SJKC Gua Musang adalah hasil percantuman dua buah sekolah iaitu Sekolah Lok Kuan dan Sekolah Wei Sin pada tahun 1951. Sebelum itu, kedua-dua buah sekolah ini telah wujud di pekan kecil Gua Musang dan sentiasa menghadapi masalah kekurangan murid dan sumber kewangan. Percantuman tersebut telah dipersetujui oleh Jemaah Pengurus kedua-dua buah sekolah dan juga Pegawai Jajahan pada masa itu. Bagi mengelakkan pergaduhan dan perselisihan faham, maka nama sekolah telah ditukar kepada nama SRJK (C) Gua Musang sempana nama pekan kecil Gua Musang.

Pada tahun 1957, Kerajaan British telah bersetuju untuk menyerahkan tapak dan bangunan sekolah yang baru kepada SRJK (C) Gua Musang. En. Choo Low Hee telah dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pengurus yang baru manakala En. Fong Chi sebagai Guru Besar. Pada tahun 1958, sekolah ini telah dijadikan sekolah bantuan penuh kerajaan.

Dari setahun ke setahun jumlah murid telah bertambah menyebabkan pihak Jabatan Pendidikan telah bersetuju membuka kelas bagi murid-murid di Sekolah Pulai pada tahun 1966. Pada awal tahun 1976, sekolah telah berpindah ke tempat sekarang iaitu berhampiran dengan Tokong Kuan Tai yang mempunyai satu blok bangunan dua tingkat. Pada peringkat pertama pembinaan bangunan ini mengandungi 6 bilik darjah, sebuah bilik guru besar, sebuah bilik guru, sebuah bilik stor dan sebuah kantin. Pada 25.09.1977, Timbalan Menteri Pendidikan pada masa itu, Mendiang Chan Siang Sang telah merasmikan pembukaan bangunan sekolah ini.

Pada tahun 1981, pihak Jabatan Pendidikan Negeri telah memberi bantuan kilat untuk membina bangunan bilik darjah daripada jenis kayu dan papan. Semasa pembinaan peringkat kedua ini, 3 bilik darjah, sebuah perpustakaan dan sebuah bilik pendidikan jasmani (stor), sebuah lorong pejalan kaki yang menghubungi bangunan bilik darjah telah dibina. Pada masa ini, bilangan murid telah meningkat seramai 500 orang dan jumlah gurunya seramai 26 orang.

Pada tahun 1985, Guru Besar, En. Woon Soon Foo telah meletak jawatan dan jawatan beliau telah dipangku oleh En. Lew Siew Soon (1985 - 1986). Pada tahun 1986 – 1991, En. Chong Tau Kon pula telah mengambil alih jawatan sebagai Guru Besar. Selepas En.Chong Tau Kon bersara pada tahun 1991, jawatan Guru Besar telah disandang oleh En. Theng Nyok Seong sehingga bulan Disember 1992. Kemudiannya, En. Tan Poh Chuan dari SJK (C) Yuk Chai, Kuala Krai telah dilantik sebagai Guru Besar dan bersara pada 04.04.1994. Jawatan Guru Besar telah dipangku oleh En. Chee Sien Chen (PK HEM) sehingga pada 05.05.1994. Kemudian, jawatan Guru Besar telah disandang oleh En. Wong Yim Woon bermula pada 05.05.1994 hingga 23.7.1997.

Pada awal tahun 1995, Pihak Jemaah Pengurus Sekolah telah membina sebuah lagi bangunan sekolah yang bernilai RM600,000.00 dengan sumber kewangan peruntukan kerajaan sebanyak RM150,000.00 dan kutipan derma orang ramai sebanyak RM450,000.00. Bangunan 4 tingkat ini telah siap dibina pada 20.01.1996 dan dibuka secara rasminya oleh YB. Datuk Dr. Fong Chan Onn, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia pada 26.06.1997. Bangunan ini mengandungi sebuah kantin, 4 bilik darjah, 4 buah tandas lelaki & 4 buah tandas perempuan, sebuah bilik alat bantuan mengajar, sebuah bilik komputer, bilik guru, bilik guru besar dan pejabat serta 4 unit asrama guru. Pada tahun 1996, sebuah bilik agama telah diubahsuai. Peruntukan sebanyak RM15,000.00 melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan telah disalurkan untuk kerja-kerja pembesaran, mengecat semula dan membaikpulih bangunan.

Mulai 10.10.1997 hingga 2002, En. Theng Nyok Seong telah dilantik sebagai Pemangku Guru Besar sebelum diambil alih oleh Cik Ng Soh Hoon pada 22.08.2002. Pada 16.07.2007, Cik Ng Soh Hoon telah bertukar ke SJK (C) Peir Chih, Kota Bharu. Jawatan Guru Besar kemudiannya telah disandang pula oleh En. Foo Lai Meng sehingga sekarang.